Tempoh perbaharui cukai jalan dilanjut

Sumber : Berita Harian, Laporan Oleh Essa Abu Yamin - Mac 21, 2021

Wee Ka Siong ketika program gotong-royong baik pulih rumah ibu tunggal di Kampung Parit Sumarto, Parit Raja, hari ini. Foto NSTP/Essa Abu Yamin

BATU PAHAT: Kementerian Pengangkutan (MOT) bercadang melanjutkan pengecualian pembaharuan Lesen Memandu Kompeten (CDL, tidak termasuk Lesen Vokasional) dan Lesen Kenderaan Motor (cukai jalan, tidak termasuk kenderaan perdagangan) untuk dua bulan lagi.

Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata sepatutnya pengecualian bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha mengurangkan kesesakan di tempat awam yang berkuat kuasa 1 Februari lalu sepatutnya tamat 31 Mac depan.

Cadangan itu adalah bagi memberi ruang kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyelesaikan urusan tertunggak disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pengumuman mengenai perkara ini dijangka dibuat minggu hadapan selepas berbincang dengan JPJ. Ketika ini pemilik kenderaan hanya perlu pastikan kenderaan mereka ada perlindungan insurans dan kemukakan salinan sijil perlindungan itu atau ‘e-cover note’,” katanya selepas program gotong-royong di rumah penduduk di Kampung Parit Sumarto hari ini.

Katanya, kementerian sedang memikirkan cara yang berkesan untuk menyelesaikan secara berfasa kes-kes cukai jalan yang tertangguh, sekali gus meredakan keadaan di kaunter JPJ apabila dibuka nanti.

Pada Januari lalu, Kementerian Pengangkutan mengumumkan pengecualian pembaharuan cukai jalan bermula 1 Februari hingga 31 Mac seluruh negara kecuali Sarawak susulan pelaksanaan PKP bagi mengehadkan operasi di kaunter JPJ

 

 

Open Whatapp